BEREGU campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei memperoleh pengalaman berharga setelah terlepas gelaran sulung musim ini selepas tewas dalam aksi final Thailand Masters di Bangkok pada Ahad. Mereka tewas kepada pasangan tuan rumah, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai 12-21, 18-21 dalam saingan yang berlangsung di Stadium Nimibutr. Ee Wei mengakui kesilapan mudah ketika memburu mata penting telah menghukum mereka dalam permainan tersebut. "Kami perlu belajar bagaimana untuk mendapatkan mata penting. Itu pengalaman yang ada pada mereka. "Bukan tiada perkara positif, tetapi kami perlu buat keputusan yang betul ketika berdepan situasi merebut mata penting," katanya selepas berakhir perlawanan. Sepanjang tahun lalu, Tang Jie-Ee Wei cemerlang merangkul dua gelaran Jelajah Dunia menerusi kejayaan mengungguli Masters Orleans di Perancis dan Terbuka Taiwan, tahun lalu. Dalam pada itu, Tang Jie turut mengakui bertanggungjawab di atas kekalahan tersebut kerana tidak melindungi pasangannya ketika beregu lawan menyerang mereka ketika beraksi. "Saya tidak melindungi Ee Wei dengan baik terutama ketika bertahan. Jadi saya ambil tanggungjawab ini (kalah)," katanya.
Read more:SINARH
2024-02-06 7:10:0
0 Ulasan