Search

header ads

[SINARH] TH gilap bakat kepimpinan muda



KUALA LUMPUR - Menggilap bakat kepimpinan di kalangan generasi muda untuk masa depan negara yang cemerlang. Demikianlah yang boleh diterjemahkan terhadap usaha Lembaga Tabung Haji (TH) menganjurkan program TH Young Leadership Series 2024 yang disertai 88 orang pelajar dari 22 buah sekolah menengah di serata daerah Selangor selama dua hari bermula 5 Januari lalu. Mendapat kerjasama daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, program tersebut diadakan di Menara TH, di sini sekali gus menghimpunkan pemimpin dan pelajar cemerlang dari sekolah luar bandar terpilih yang mempunyai potensi kepimpinan melalui pelbagai pengisian yang interaktif dan bermanfaat. Menurut Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman, TH Young Leadership Series 2024 itu merupakan program yang julung kali diadakan oleh pihaknya khusus untuk tujuan berkenaan. Malah, program itu merupakan platform terbaik bagi berkongsi ilmu serta pengalaman bersama tokoh-tokoh industri yang berjaya dalam bidang masing-masing. "Sebagai sebuah institusi pengurusan haji dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan, TH berasa terpanggil untuk menyediakan ruang dan peluang bersama pemain industri berkongsi pengetahuan serta pengalaman kepada generasi pelapis. "Mereka (pelajar) ini yang bakal mengemudi sesebuah organisasi mahupun pentadbiran negara pada masa akan datang," jelasnya dalam satu kenyataan. Sokongan Dalam pembangunan generasi muda khususnya para pelajar luar bandar, TH sentiasa prihatin dan memberikan sokongan dari segi kemudahan termasuklah pendedahan supaya mereka dapat bergerak seiring dengan perubahan semasa. Sokongan itu ditegaskan Syed Hamadah yang mana TH sendiri tampil merangka modul program yang dapat memberi nilai tambah kepada para pelajar luar bandar sekali gus membantu mereka membina ketrampilan, kewibawaan dan keyakinan diri. "TH amat prihatin dan memberikan sokongan sepenuhnya terhadap sebarang usaha pembangunan generasi muda terutamanya di kalangan pelajar luar bandar. "Mereka mungkin lebih memerlukan dari sudut pendedahan, kemudahan dan kelengkapan pembelajaran agar dapat bergerak seiring dengan kemajuan semasa," jelas beliau. Program TH Young Leadership Series 2024 telah menampilkan tokoh industri terkemuka, Tan Sri Shahril Ridza Ridzuan yang merupakan Pengerusi Axiata Group Berhad seterusnya berkongsi pemikiran, pandangan serta falsafah kepimpinan bersama para pelajar yang terlibat. Pemantapan rohani Selain itu, program TH Young Leadership Series 2024 turut melibatkan modul pemantapan rohani yang mana para peserta telah diberikan peluang memperkukuhkan aspek keperibadian mereka melalui pelbagai aktiviti yang dirangka khusus. Salah satu acara utama dalam program itu adalah sesi ceramah yang disampaikan oleh penceramah dan selebriti televisyen, Ustaz Mohd Fakhrul Radhi Khamarudin yang merupakan ahli kumpulan nasyid UNIC. Di samping itu, kemahiran kepimpinan para peserta turut diuji melalui pelbagai aktiviti berkumpulan yang turut melibatkan Pengurusan Tertinggi TH sendiri. Aktiviti berkumpulan tersebut memberikan pengalaman baharu kepada para peserta mengenai pendedahan suasana dunia korporat di samping membina kemahiran dan keyakinan mereka menghadapi segala cabaran masa hadapan bagi pembinaan bangsa dan negara.
Read more:SINARH
2024-02-09 12:29:0

Catat Ulasan

0 Ulasan