GEORGE TOWN - Keceriaan menyambut sambutan Tahun Baharu Cina bagi penduduk Pangsapuri Desa Intan di Lebuhraya Thean Teik, Bandar Baru, Ayer Itam bertukar cemas selepas tiga buah kenderaan yang diparkir di aras bawah musnah dalam kebakaran pada tengah hari Sabtu. Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima laporan kejadian kira-kira jam 12.02 tengah hari sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Paya Terubong bergegas ke lokasi kebakaran. Menurutnya, kebakaran di aras bawah Block 7 A melibatkan kenderaan jenis Produa Myvi dan Produa Kancil serta sebuah motosikal SYM Bonus selain mengakibatkan dua unit kompresor penghawa dingin di bangunan berhampiran rosak disebabkan terkena bahang. "Kesemua kenderaan terlibat mengalami 80 peratus kemusnahan akibat kebakaran. "Kebakaran telah dapat dikawal pada jam 12.18 tengah hari sebelum berjaya dipadam sepenuhnya hampir sejam kemudian," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu. Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan operasi memadam api turut dibantu oleh pasukan bomba sukarela berhampiran. Katanya, pasukan bomba seterusnya melakukan kerja-kerja 'overhaul' bagi memastikan lokasi kejadian benar-benar selamat dan operasi ditamatkan pada jam 1.43 petang.
Read more:SINARH
2024-02-10 19:53:0
0 Ulasan