Search

header ads

[SINARH] Tiga sekawan dituduh miliki, edar dadah di kubur Cina



GEORGE TOWN - Tiga sekawan dituduh di Mahkamah Majistret atas pertuduhan mengedar 102,862 gram dadah jenis kanabis di sebuah kubur Cina di sini pada Januari lalu. A Nadarajan, 51, SR Karanan, 35, dan R Thasvindran, 32, dituduh mengedar dadah tersebut di Kwangtung, Jalan Mount Erskine pada jam 3 petang, 25 Januari lalu. Ketiga-tiga mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39 (b) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. Ketika prosiding, hanya Nadarajan dan Thasvindran hadir di mahkamah manakala Karanan berada di penjara kerana sebab-sebab tertentu. Difahamkan, Karanan mempunyai kes mahkamah berasingan yang disebut pada Isnin. Tiada pengakuan direkodkan oleh kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam. Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, M Darrshini di hadapan Majistret, Nadratun Naim Mohd Saidi. Darrshini memohon agar tiada jaminan diberikan terhadap ketiga-tiga tertuduh. Nadratun kemudiannya tidak membenarkan jaminan ke atas ketiga-tiga tertuduh dan menetapkan 16 April depan untuk laporan kimia serta kehadiran tertuduh kedua. Sementara itu, di mahkamah sama, Nadarajan menghadapi satu pertuduhan berasingan kerana memiliki dadah. Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki dadah jenis kanabis seberat 7.82 gram di hadapan kandang lembu, Hong Seng Estate, Jalan Mount Erskine pada jam 4 petang, 24 Januari lalu. Dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum Seksyen 6 akta sama. Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-dua sekali. Nadarajan bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan. Darrshini tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh. Tertuduh yang diwakili peguam Edmund Anthony Hermon kemudiannya memohon mahkamah menetapkan hukuman ringan terhadap anak guamnya kerana tertuduh hanya seorang buruh. "Anak guam saya berusia 50 tahun, belum berkahwin dan hanya bekerja sebagai buruh yang berpendapatan RM50 sehari. "Mohon mahkamah memberi hukuman minimum terhadap tertuduh," katanya. Kes ditangguh sehingga 16 April untuk laporan kimia. Polis tahan pembantu kedai, rampas minuman keras bernilai RM330,000 Sementara itu di KUANTAN, PAHANG seorang pembantu kedai warga India ditahan bersama 67 kotak dan 27 karton minuman keras pelbagai jenama bernilai RM330,000 dalam sebuah apartmen sewa yang dijadikan stor simpanan di Genting Highlands, 2 Februari lalu. Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, tangkapan dan rampasan dilakukan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong kira-kira jam 11 malam. Menurutnya, dalam serbuan itu, polis menemui dan menahan suspek berusia 24 tahun yang bekerja sebagai pembantu kedai di sebuah kedai runcit di Genting Permai sejak setahun lalu. "Hasil pemeriksaan lanjut ke atas premis itu, pihak polis menemui kotak dan karton mengandungi 252 botol serta 246 tin minuman keras pelbagai jenama disyaki tanpa cukai. "Nilai keseluruhan rampasan RM330,000 termasuk RM80,000 nilai minuman keras dan RM250,000 duti serta cukainya," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, di sini pada Selasa. Yahaya berkata, siasatan ke atas suspek mendapati lelaki itu memiliki pasport yang sah namun tiada permit kerja sebagai pembantu kedai. "Suspek ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 atas kesalahan memiliki barang tidak berkastam atau larangan import. "Jika sabit kesalahan, pihak terlibat boleh didenda tidak kurang 10 kali nilai duti kastam atau RM100,000 mana lebih tinggi dan 20 kali nilai barang atau RM500,000 mana paling tinggi atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali," jelasnya.
Read more:SINARH
2024-02-06 12:55:0

Catat Ulasan

0 Ulasan