Search

header ads

[SINARH] CEO syarikat telekomunikasi didakwa tipu penganugerahan projek RM47.25 juta



SHAH ALAM - Seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat telekomunikasi pada Rabu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan menipu berhubung penganugerahan projek bernilai RM47.25 juta, tiga tahun lepas. Mohd Razain Hashim, 45, yang merupakan CEO RD Comm & Network (M) Sdn Bhd, didakwa menipu ketua pegawai operasi sebuah syarikat pembinaan bahawa beliau boleh menganugerahkan 'Project Of Engineering Services For Maxis Installation And Fixed Monopole New Site Project Peninsular Malaysia 250 Units Foundation of Pole' sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang berjumlah RM250,000 secara perbankan dalam talian di Maybank Taman Putra, Ampang, Selangor pada 29 April dan 3 Mei 2021. Beliau didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dengan sebatan dan boleh didenda jika sabit kesalahan. Hakim Datuk Anita Harun menetapkan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin serta membenarkan tertuduh membayar RM20,000 hari ini dan baki RM80,000 pada 11 Mac. Mahkamah turut mengarahkan Mohd Razain melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang berdekatan setiap bulan dan menetapkan sebutan semula kes pada 24 April. Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM Mohd Aliff Shaharuzaman manakala tertuduh diwakili peguam T. Harpal Singh. Sebelum ini, Mohd Razain dikenakan waran tangkap kerana gagal hadir ke mahkamah pada prosiding pendakwaan 28 Februari lepas. - Bernama Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Read more:SINARH
2024-03-06 18:59:0

Catat Ulasan

0 Ulasan