Search

header ads

[SINARH] Kelas prasekolah akan diwujudkan di seluruh institusi KPM



KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bercadang untuk mewujudkan kelas prasekolah di seluruh institusi di bawah kementerian itu termasuk Kolej Vokasional dan Institut Pendidikan Guru (IPG) bermula pada sesi persekolahan 2024/2025. Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, penambahan itu berdasarkan permintaan, keperluan dan keupayaan komitmen KPM. "Hala tuju kita setakat ini, kita akan memperluaskan prasekolah di bawah institusi KPM. "Prasekolah KPM ini percuma dan kita mahukan ibu bapa memilihnya. "Sifat awal prasekolah ini bagi mengelakkan keciciran dan melakukan intervensi awal. "Ia akan berlaku dengan pesat kerana kita akan mewajibkan di semua institusi KPM dan di semua 27 buah IPG," katanya pada sidang media selepas merasmikan Karnival Keusahawanan Permata Remaja di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Pantai di sini hari ini. Beliau berkata, sebanyak 129 kelas prasekolah ditambah tahun ini menjadikan jumlah keseluruhannya kepada 9,909 di seluruh negara bagi memberi peluang lebih ramai murid mendapat pendidikan di peringkat awal. Mengulas tentang karnival keusahawanan itu, Fadhlina berkata, penganjurannya adalah bagi mempraktikkan amalan pendidikan berterusan khususnya golongan remaja berisiko B40 bagi memastikan tiada dalam kalangan mereka tercicir dalam mengejar kecemerlangan hidup. Karnival Keusahawanan Permata Remaja dijadualkan berlangsung dua hari bermula hari ini dengan penglibatan seramai 250 peserta. Karnival yang merupakan strategi bersepadu antara Program Permata Remaja dengan Pusat Pemerkasaan Remaja (Perkasa), Universiti Kebangsaan Malaysia sejak 14 tahun lepas itu berjaya menyantuni 8,396 remaja di kawasan PPR sekitar Kuala Lumpur. Daripada jumlah itu, 20 peratus daripada mereka telah melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi, 75 peratus telah bekerja atau membuka perniagaan sendiri dan selebihnya masih lagi bersekolah. Seramai 12 orang alumni dilantik sebagai tenaga pengajar program. Dalam perkembangan lain, Fadhlina berkata, KPM akan memberi khidmat kaunseling serta bantuan selayaknya kepada Attar Azim Syukran Jamil, 9 yang kehilangan empat ahli keluarga termasuk ibu bapanya dalam kemalangan di Kilometer (KM) 76.5 Jalan Kota Bharu-Gua Musang dekat Kampung Pahi di Kuala Krai, Kelantan, Sabtu lepas. - Bernama Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Read more:SINARH
2024-03-06 12:35:0

Catat Ulasan

0 Ulasan