Search

header ads

[SINARH] Kerajaan cadang bentang pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat



KUALA LUMPUR - Kerajaan bercadang menubuhkan sebuah agensi berpusat khusus untuk menangani isu berbangkit melibatkan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010. Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran menjelaskan, cadangan itu akan dibentangkan di Dewan Rakyat tahun ini sejurus dasar berkenaan selesai dikaji dan dimuktamadkan. Menurutnya, agensi berpusat itu melibatkan latihan dan tatacara pengendalian khas kepada perlindungan pemberi maklumat turut disertakan dengan penyelesaian perkara berbangkit dalam Akta 711. "Ini bertujuan untuk memastikan fokus kepada tatacara kerja yang lebih teratur dan jelas antara agensi berpusat dan penguatkuasaan supaya tidak keliru dengan bidang tugas masing-masing. "Cadangan penambahbaikan kepada Akta 711 merupakan antara inisiatif kerajaan dalam usaha membanteras penyalahgunaan kuasa, rasuah dan pelanggaran integriti khusus dalam organisasi awam dan swasta," katanya pada sidang Dewan Rakyat pada Isnin. Sementara itu menjawab pertanyaan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) mengenai kesediaan kerajaan untuk menerima aduan secara terbuka supaya kes seperti seorang aktivis disaman agensi kerajaan tidak berulang, Kulasegaran menegaskan, kenyataan terbuka kebiasaannya melibatkan pendedahan secara melampau. "Perkara yang dihadapi agensi kerajaan ialah 'trust deficit' di mana kepercayaan orang ramai kepada agensi nampaknya tidak di tahap kita mahukan. "Tapi saya setuju dengan Yang Berhormat (Ramkarpal), kita perlu ada inisiatif baharu dan saya percaya bila ada kenyataan-kenyataan terbuka, itu menjadi masalah besar ekoran akan melibatkan pendedahan melampau dan sukar untuk diambil tindakan. "Perlu diteruskan kepada agensi-agensi aduan terlibat dan dengan perubahan yang dicadangkan, semestinya perkara diberi pandangan oleh Yang Berhormat akan diambil kira," ujarnya. Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Read more:SINARH
2024-03-04 11:42:0

Catat Ulasan

0 Ulasan