Search

header ads

[SINARH] Kerajaan sedang muktamad dasar berkaitan Akta Bantuan Guaman 1971



PUTRAJAYA - Kerajaan telah menyelesaikan kajian menyeluruh mengenai rejim perkhidmatan bantuan guaman semasa dan sedang memuktamadkan dasar berkaitan untuk memperkenalkan perundangan baharu bagi menggantikan Akta Bantuan Guaman 1971 [Akta 26]. Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam satu kenyataan pada Selasa memaklumkan, undang-undang baharu itu bertujuan merangkumi perkhidmatan bantuan guaman sivil dan jenayah termasuk perkhidmatan pembela awam dalam usaha memastikan akses kepada keadilan tidak dinafikan kepada mana-mana orang. Dalam semangat yang sama, BHEUU memaklumkan kerajaan meneruskan usahanya untuk mempromosikan program 'Justice on Wheels' dilancarkan pada 25 Jan lalu yang menggunakan pendigitalan dan platform mudah alih untuk menyediakan perkhidmatan guaman kepada masyarakat luar bandar termasuk di kawasan Felda di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Sementara itu, memandangkan kepesatan perkembangan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan pelanggaran data oleh penyedia rangkaian dan platform, kerajaan kini sedang merangka Akta Keselamatan Digital (DSA) bagi menyediakan prosedur berkaitan pencegahan jenayah siber. "Ini termasuk pencegahan penyebaran bahan penderaan kanak-kanak, penipuan dalam talian dan keganasan...untuk mengawal selia penggunaan selamat kemudahan rangkaian, perkhidmatan, aplikasi dan perkhidmatan aplikasi kandungan di Malaysia, menurut kenyataan itu. Kenyataan itu dikeluarkan sempena lawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said ke Zanzibar, Tanzania bagi menghadiri Mesyuarat Menteri Undang-Undang Komanwel (CLMM) 2024) dari Isnin hingga Jumaat ini. Mesyuarat itu bertemakan "Teknologi dan Inovasi: Bagaimana Pendigitalan Membuka Jalan untuk Pembangunan Akses Berpaksikan Rakyat kepada Keadilan", berdasarkan komitmen kolektif Negara Anggota Komanwel ke arah mencapai cita-cita Deklarasi Komanwel mengenai Akses kepada Keadilan dan Pelan Tindakan, yang memperjuangkan akses yang sama kepada keadilan untuk semua. Keputusan CLMM 2024 itu akan dibincangkan semasa Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) 2024 yang dijadualkan berlangsung di Samoa. Selaras dengan tema CLMM 2024, BHEEU memaklumkan kerajaan Madani mengiktiraf bahawa seperti diperuntukkan di bawah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan, semua orang berhak mendapat perlindungan undang-undang yang sama dan sudah tiba masanya kemajuan teknologi digerakkan untuk memajukan tanggapan ini.. "Usaha juga telah diambil oleh kerajaan terutamanya berkaitan eksploitasi dan penderaan seksual dalam talian untuk melindungi kanak-kanak melalui pindaan Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 [Akta 792] tahun lepas. "Peruntukan baharu diperkenalkan dalam akta tersebut bagi menangani ancaman pemerasan seksual kanak-kanak yang semakin meningkat dan penyalahgunaan penstriman langsung merentasi sempadan dan menuntut kerjasama rentas sempadan," menurut BHEUU. - Bernama Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Read more:SINARH
2024-03-05 23:15:0

Catat Ulasan

0 Ulasan