Search

header ads

[SINARH] Pegawai bank BSI bimbang dana besar masuk ke akaun SRC BVI



KUALA LUMPUR - Seorang saksi memaklumkan Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu bahawa beliau telah meluahkan kebimbangan apabila akaun bank SRC International (Malaysia) Limited (SRC BVI) menerima kemasukan AS$864.5 juta (RM4 bilion) dalam tempoh singkat dan mengesyaki transaksi itu satu penipuan. Bekas Ketua Perkhidmatan Pengurusan Kekayaan Bank BSI, Kevin Micheal Swampillai, 64, berkata, akaun SRC BVI telah menerima kemasukan dana yang besar antara November 2011 dan April 2012 daripada SRC International Sdn Bhd dan beliau membangkitkan perkara itu kepada pegawai atasannya bagi membolehkan laporan transaksi mencurigakan (STR) difailkan. "STR adalah tanggungjawab jabatan pematuhan bank dan Jawatankuasa Penerimaan Pelanggan (CAC). CAC mempunyai tanggungjawab untuk memantau transaksi serta aktiviti akaun pelanggan yang terdedah secara politik. "Sememangnya saya telah membangkitkan syak wasangka terhadap transaksi ini kepada pegawai atasan saya seperti yang dikemukakan sebagai bukti di mahkamah (pada perbicaraan lain). "Saya bimbang kerana kami tidak tahu wang itu akan ke mana dan tidak boleh melihat di mana ia akan berakhir, dan saya menzahirkan kebimbangan kerana jumlah transaksi yang dilakukan oleh SRC akan menjadi semakin kerap namun tiada tindakan diambil oleh pengurusan kanan bank," katanya. Kevin berkata demikian ketika disoal balas oleh peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak dalam saman sivil AS$1.18 bilion (RM5.58 bilionz) SRC International Sdn Bhd terhadap bekas Perdana Menteri itu di hadapan Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin. Turut dinamakan dalam saman itu ialah bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil. Ketika disoal sama ada saksi itu pernah bertemu dengan mana-mana Ahli Lembaga Pengarah SRC BVI semasa kesemua transaksi tersebut dibuat, Swampillai menjawab tidak. SRC, di bawah pengurusan baharu telah memfailkan saman itu pada Mei 2021, atas dakwaan Najib telah melakukan pecah amanah jenayah, salah guna kuasa dan memperoleh ganjaran peribadi daripada dana syarikat itu selain melakukan penyelewengan terhadap dana berkenaan. Syarikat itu memohon ganti rugi am, ganti rugi teladan, ganti rugi tambahan, faedah, kos dan relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. SRC juga menuntut deklarasi mahkamah bahawa Najib adalah bertanggungjawab bagi kerugian yang dialami oleh syarikat itu akibat pelanggaran tugas serta amanah beliau dan menuntut supaya beliau membayar balik kerugian yang dialami sebanyak RM42 juta. Najib, 70, yang kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International. Beliau kemudian memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 Sept 2022. Susulan keputusan pengampunan itu, hukuman penjara Najib telah dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun manakala denda pula dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. Perbicaraan bersambung esok. - Bernama Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Read more:SINARH
2024-03-06 20:52:0

Catat Ulasan

0 Ulasan