PASIR SALAK - Pelaksanaan subsidi bersasar tidak akan memberi kesan dalam aspek pelaburan asing, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz. Beliau berkata, pelabur ketika ini lebih melihat kepada konsistensi polisi yang dimiliki negara dalam menentukan komitmen pelaburan mereka. Tambahan pula katanya, kos pengoperasian syarikat yang membuat pelaburan di Malaysia masih rendah jika dibandingkan dengan negara lain. "Pelaburan dilakukan syarikat asing ini untuk jangka masa yang panjang jadi fokus mereka adalah melihat bagaimana dasar dan polisi negara. Jika konsisten, mereka akan melabur. "Kebanyakan syarikat ini tidak dapat pun subsidi yang disebut secara bersasar. Oleh itu walaupun subsidi ini ditarik, apabila dibandingkan dengan negara lain, kita masih lagi efektif dari segi kos," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Ihya Ramadan dan Iftar Perdana di pekarangan Masjid Jamek Al Ansar, Bandar Baru FELCRA Seberang Perak di sini pada Ahad. Hadir sama, Pengerusi Halal Development Corporation, Khairul Azwan Harun dan Pengerusi Felcra Education Services Sdn Bhd, Ramelle Ashram Ramli. Kerajaan umumkan pelaksanaan subsidi bersasar akan berlangsung pada suku kedua ke atas. Media sebelum ini melaporkan, Malaysia mencatatkan jumlah pelaburan diluluskan sebanyak RM329.5 bilion pada 2023 iaitu 23 peratus lebih tinggi berbanding 2022, sekali gus menjadikannya yang tertinggi dalam sejarah negara. Daripada jumlah tersebut, pelaburan asing merupakan penyumbang utama sebanyak 57.2 peratus berbanding domestik iaitu 42 peratus. Dalam perkembangan lain, Zafrul berkata, pemain industri serta syarikat pemasangan stesen pengecas awam bagi kenderaan elektrik (EV) menyuarakan keyakinan sasaran 10,000 stesen EV menjelang 2025 dapat dipenuhi. Katanya, perkara itu berdasarkan kepada permintaan tinggi dalam kalangan pengguna EV mengenai pengecasan kereta mereka. "Setakat ini ada lebih 2,100 stesen pengecas EV beroperasi di seluruh negara. "Perbincangan saya dengan pihak pemasangan (industri), mereka masih yakin dan berani untuk buat (tambahan lagi) stesen (EV). Saya sendiri sedang cuba pastikan sasaran 10,000 ini dapat kita capai," katanya.
Read more:SINARH
2024-03-31 22:17:0
0 Ulasan