Search

header ads

[SINARH] Agrobank lancar Janji Amir, video muzik raya



KUALA LUMPUR - Bank Pertanian Malaysia Berhad (Agrobank) melancarkan filem web pendek, Janji Amir dan tayangan video muzik raya khas daripada pengurusan kanan bank bertajuk 'Esok Hari Raya' sempena Aidilfitri tahun ini. Presiden Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, pihaknya bukan sekadar ingin mengetengahkan jenama itu sendiri, tetapi mahu bersikap terbuka dalam usaha menyampaikan mesej berunsur kemasyarakatan. "Naskah yang amat menyentuh hati dan lakonan terbaik daripada barisan pelakon. "Insya-ALLAH kita akan teruskan usaha-usaha sebegini dan cuba bawa mesej yang berpanjangan kepada masyarakat, terutamanya tentang kasih sayang serta nilai kekeluargaan," katanya. Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank berkata demikian ketika sidang media tayangan perdana filem web dan video muzik raya itu di Pavilion, di sini pada Khamis. Karya berdurasi 10 minit yang dibarisi pelakon terkenal tanah air seperti Beto Kusyairy, Nadiya Nisaa dan Amerul Affendi bakal menemui penonton pada 5 April di saluran rasmi YouTube Agrobank TV. Hadir sama, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup bagi merasmikan acara berkenaan bersama beberapa pengurusan tertinggi Agrobank serta rakan media tempatan. Ditanya mengenai kesinambungan video muzik raya berkenaan dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan pula, Tengku Ahmad Badli Shah menjelaskan, ia dapat dilihat menerusi sinematografi yang memaparkan situasi membeli keperluan bahan mentah di pasar tani. "Ini merupakan kali pertama saya berada dalam video muzik, apa yang boleh dilihat adalah situasi di pasar apabila orang membeli ayam, sayur dan sebagainya," ulas beliau ringkas. Dalam pada itu, pengarahnya, Bobby Husaini memaklumkan, pendekatan dibawa Agrobank menerusi Janji Amir memfokuskan teras nilai kemasyarakatan dan tidak mahu terlalu menjual produk perkhidmatan. Tambah beliau, mesej yang diutarakan iaitu 'jangan sampai ralat' mampu disampaikan secara terus kepada penonton bukan sahaja ibu bapa, malah seisi keluarga dan rakan-rakan. "Dalam kehidupan seharian, kita mungkin tak tahu adakah kita akan berjumpa lagi selepas ini, jadi jangan sampai ralat kerana ia tiada ubat. "Apa-apa perkara kecil kita tak pernah buat dulu kita akan ralat, jadi hargailah setiap detik yang ada. "Justeru, kita kena faham kenapa Agrobank keluarkan video raya seperti ini, mereka adalah perkhidmatan yang berorientasikan manusia sebab ia faham tentang nilai dan nuansa masyarakat," katanya. Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Read more:SINARH
2024-04-05 10:0:0

Catat Ulasan

0 Ulasan