Search

header ads

[SINARH] Datang kelas sehari, terus jadi 'doktor' gigi



PETALING JAYA - Bukan sahaja beroperasi sebagai premis salun kecantikan, sebaliknya sebuah premis terletak di Damansara Perdana, di sini dikesan turut menawarkan khidmat sarung gigi (veneer) secara haram dengan mencari pelanggan menerusi media sosial. Aktiviti itu terbongkar selepas diserbu Bahagian Kesihatan Pergigian Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Selangor dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya kira-kira jam 12 tengah hari pada Rabu. JKN Selangor dalam kenyataan berkata, hasil risikan selama sebulan, pihaknya menahan dua individu berusia 23 dan 24 tahun yang juga pasangan suami isteri. Menurutnya, siasatan awal mendapati promosi rawatan 'veneer' dibuat oleh suspek melalui Instagram dan TikTok. "Ketika serbuan dijalankan, suspek lelaki sedang menjalankan rawatan 'veneer' gigi terhadap seorang pelanggan. "JKN percaya spa kecantikan itu menawarkan caj harga sekitar RM400 hingga RM1,000 untuk rawatan 'veneer' selain pemutihan gigi," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat. Beliau berkata, menerusi soal siasat dijalankan, suspek lelaki mendakwa menjalankan aktiviti itu sejak dua tahun lalu dan dia belajar untuk membuat rawatan itu selepas menghadiri kelas hanya sehari dengan bayaran RM2,000 di salun kecantikan lain. Katanya, suspek juga mengakui perbuatannya disebabkan faktor keuntungan. "Pelanggan perlu membuat janji temu dan bayar deposit terlebih dahulu untuk mendapatkan slot rawatan. "JKN percaya peralatan dan bahan pergigian yang digunakan diperoleh suspek menerusi pembelian secara online," ujarnya. Kes disiasat di bawah Seksyen 62(1) Akta Pergigian 2018 iaitu menjalankan amalan pergigian oleh orang yang tidak berkelayakan dan berdaftar yang boleh membawa hukuman denda tidak lebih RM300,000 atau penjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya. Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Read more:SINARH
2024-04-05 10:25:0

Catat Ulasan

0 Ulasan