KOTA KINABALU - Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh mempersoalkan kenapa beliau perlu memberi keterangan di Sabah sedangkan tiada sebarang kenyataan dikeluarkan di negeri ini. Dr Akmal berkata, beliau datang ke Sabah hanya untuk menghadiri program berbuka puasa dengan pimpinan UMNO Sabah yang biasa dianjurkan di setiap negeri dan Sabah negeri terakhir bagi program tersebut. Menurutnya, kehadiran beliau di Sabah juga bukan untuk membuat gangguan atau mendatangkan masalah di negeri ini. "Tiada langsung laporan dari Sabah, tidak ada langsung apa-apa kenyataan dari Sabah, semuanya berlaku di Semenanjung jadi kami datang di sini atas program Pemuda UMNO. Kami datang dengan tenang, jadi saya rasa kita tidak mengganggu sesiapa di sini jadi tiada masalah. "Saya hairan kenapa mereka tidak dapat tunggu saya balik ke semenanjung sebab sudah ditetapkan. "Laporan itu di Kuala Lumpur jadi saya pun tertanya-tanya kenapa perlu cepat, apa yang penting sangat, bukan saya tak balik, saya balik dan kita dah bagi komitmen tapi nak juga," katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat. Ditanya adakah beliau akan hadir untuk memberi keterangan di IPD Dang Wangi sekali lagi, Dr Akmal berkata, beliau sedia untuk memberikan kerjasama. "Pada saya kita memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis untuk siasatan. Kalau perlu dipanggil dan saya akan hadir 'no fear, no surrender' (tidak takut, tidak menyerah)," katanya. Dalam pada itu, Dr Akmal memberitahu bahawa tiada larangan setakat ini untuk beliau masuk ke Sabah. "Tiada, kami okay saja masuk macam biasa saja. Saya di sini sudah, kalau tak saya duduk kat airport (lapangan terbang) lagi," katanya. Dr Akmal sebelum itu yang tiba dari Kuala Lumpur di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) telah dibawa ke IPD Kota Kinabalu untuk diambil keterangan. Beliau selesai memberi keterangan sekitar jam 12 tengah hari iaitu kira-kira dua jam setengah selepas dibawa ke IPD Kota Kinabalu. Keterangan itu diambil berkaitan satu laporan yang dibuat terhadapnya berkaitan Akta Hasutan mengenai satu video ceramahnya di Kelantan. Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Read more:SINARH
2024-04-05 13:21:0
0 Ulasan