Search

header ads

[SINARH] Ikan bandaraya ancam ikan asli



SHAH ALAM - Ikan bandaraya atau pleco yang popular dalam industri ikan hiasan merupakan spesies invasif yang menjejaskan spesies habitat ikan asli di perairan tempatan. Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), Datuk Adnan Hussain berkata, beberapa ciri yang menjadikan ikan ini sebagai ikan invasif yang 'berjaya' iaitu keunikan tabiat pemakanannya, tabiat pembiakan dan perkembangan populasi ini akan mengganggu habitat ikan asli. Menurutnya, ikan asing ini mudah menyesuaikan diri dalam persekitaran baharu dan mempunyai daya ketahanan yang tinggi terhadap persekitaran yang tercemar serta boleh membesar sehingga melebihi 1 kilogram dengan berat purata 500 gram. "Kehadiran ikan bandaraya mungkin menyebabkan perubahan dalam habitat tempatan seperti penurunan kualiti air, penurunan vegetasi akuatik dan juga modifikasi tebing sungai dengan membuat lubang sebagai sarang pembiakan. "Ini boleh memberi kesan negatif kepada spesies tempatan yang bergantung kepada habitat tersebut," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa. Beliau berkata, kehadiran ikan bandaraya menyebabkan perubahan dalam rangkaian makanan tempatan hingga memberi tekanan pada populasi spesies lain dalam ekosistem. Jelas Adnan, peruntukan disalurkan untuk mengawal spesies asing berbahaya antaranya kajian inventori perikanan darat di sungai-sungai, program pelepasan ikan asli bagi tujuan memulihara dan memperkaya semula perairan darat negara dengan spesies asli. Katanya, di peringkat negeri, DOF menganjurkan program Pemburuan Baung Ekor Merah seperti di Pahang (penganjuran pesta memancing) dan memberi sokongan kepada program menjala ikan bandaraya di sungai sekitar Kuala Lumpur. "Bagi tempoh 2021 hingga 2023, Jabatan telah melaksanakan sebanyak 74 buah siri kajian inventori di seluruh negara termasuk enam siri melibatkan Kuala Lumpur. "Pada tahun 2024 ini, Pejabat Perikanan Kuala Lumpur dan Putrajaya dalam perancangan untuk mengadakan program bersama komuniti serta agensi dan syarikat bagi mengurangkan populasi ikan bandaraya," katanya. Dalam pada itu, ujar Adnan, pihaknya juga menjalankan kajian di Institut Penyelidikan Perikanan Glami Lemi untuk meneroka kegunaan ikan bandaraya sebagai sumber bahan mentah bagi industri pembuatan seperti makanan haiwan ternakan, kosmetik, barangan hiasan dan sebagainya. "Jabatan juga mengenal pasti spesies ikan asli yang terancam dan bernilai tinggi dengan menjalankan kaedah pembiakan tiruan dan kemudiannya dilepaskan kembali ke perairan asal," katanya Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Read more:SINARH
2024-04-02 11:35:0

Catat Ulasan

0 Ulasan