Search

header ads

[SINARH] Kerajaan Perpaduan akan dibebani isu semasa - Muhyiddin



HULU SELANGOR - Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu kali ini akan menyaksikan Kerajaan Perpaduan 'dibebani' dengan isu-isu semasa yang dilihat membebankan rakyat, tegas bekas Perdana Menteri yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin. Beliau berkata, PRK ini bakal menjadi referendum atau platform terbaik untuk rakyat menyuarakan pandangan yang beliau sifatkan sebagai perasaan tidak puas hati, dengan memberikan undi kepada calon PN, Khairul Azhari Saut. Menurut Muhyiddin, PN sudah memulakan persiapan serta perancangan kempen yang menyeluruh diketuai bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sejak kerusi tersebut diumumkan kosong oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). "Harapan saya pengundi berilah sokongan sebanyaknya kepada calon PN, ini masa yang amat sesuai selepas Pilihan Raya Umum, Pilihan Raya Negeri dan beberapa Pilihan Raya Kecil yang lepas, satu peluang untuk kita dapat feedback atau referendum, apakah pendirian rakyat terhadap Kerajaan Negeri atau Persekutuan. "Banyak isu yang mereka berhadapan yang akan membebankan (Kerajaan Perpaduan). Isu paling ketara ialah masalah ekonomi, masalah kos sara hidup, masalah kenaikan harga barang, masalah cukai bertambah dan banyak lagi isu tempatan termasuk kenaikan harga barang. "Dan mungkin tidak berapa lama lagi diumumkan Menteri Kabinet tentang rasionalisasi subsidi minyak, katanya nak diteruskan. Saya kira ini akan meningkatkan kos sara hidup, sebagai contoh minyak saya dengar akan naik 60 – 80 sen seliter, ini akan cukup membebankan rakyat," katanya lagi. Muhyiddin berkata demikian kepada pemberita selepas mengiringi calon PN di Pusat Penamaan Calon PRK Kuala Kubu Baharu di sini pada Sabtu. PRK Kuala Kubu Baharu bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru di antara Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Pang Sock Tao (Pakatan Harapan), Nyau Ke Xin (Bebas), dan Hafizah Zainudin (Parti Rakyat Malaysia). PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser. Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, beliau optimis sokongan akan berpihak kepada calon PN kerana rintihan rakyat terhadap kos sara hidup bukan sahaja didengari di Kuala Kubu Baharu, malah di seluruh negara. "Ini cukup mendesak dan tidak nampak keupayaan pimpinan Kerajaan Persekutuan untuk bantu selesaikan masalah. Tambah masalah ada, susahkan rakyat ada, selesaikan masalah tak ada. "Di sini walaupun kerusi DUN di kuasai Kerajaan hari ini, tapi di Kuala Kubu Baharu kita minta diberikan peluang kepada kita, suara lebih lantang tentang isu dan masalah," katanya. Untuk rekod, selain Kuala Kubu Baharu, dua daripada kawasan DUN di Parlimen Hulu Selangor telah dimenangi oleh PN pada Pilihan Raya Negeri lepas iaitu Ulu Bernam dan Batang Kali, selain kerusi Parlimen itu sendiri. Pada Pilihan Raya Negeri Ogos tahun lepas, Kee Hiong menewaskan tiga pencabarnya daripada Perikatan Nasional, Parti Rakyat Malaysia dan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dengan meraih majoriti undi sebanyak 4,119. SPR menetapkan hari pengundian bagi PRK berkenaan pada 11 Mei manakala pengundian awal pada 7 Mei. PRK Kuala Kubu Baharu merupakan PRK ketujuh yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 pada 2022. PRK kali ini akan menyaksikan jumlah pemilih seramai 40,226 orang, terdiri daripada 39,362 orang pengundi biasa, 238 orang tentera dan pasangan, serta 625 orang anggota polis, termasuk seorang pengundi yang tidak hadir kerana berada di luar negara. - Awani Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Read more:SINARH
2024-04-27 12:2:0

Catat Ulasan

0 Ulasan