Search

header ads

[SINARH] Pengorbanan Muhammad Erry demi Malaysia



JAGUH angkat berat Muhammad Erry Hidayat kali ini berpeluang menyambut Aidilfitri bersama insan tersayang selepas dua tahun berturut-turut beraya tanpa keluarga demi menggalas cabaran negara di Sukan SEA. Atlet berusia 24 tahun itu berkata pada 2022, beliau tidak berkesempatan beraya bersama keluarga kerana menjalani latihan di Pahang bagi persiapan Sukan SEA Hanoi 2021. Katanya pengorbanan itu membuahkan hasil apabila beliau menghadiahkan pingat gangsa sekali gus mencipta rekod baharu kebangsaan kategori 73kg acara snatch dan clean and jerk dengan mengangkat bebanan 316kg pada Mei 2022. "Memang seronok ketika itu, tak raya pun tak apa, balik Malaysia saya buat rumah terbuka, panggil kawan-kawan datang rumah meraikannya," katanya. Sukan SEA Hanoi 2021 berlangsung dari 12 hingga 23 Mei 2022 selepas dijadualkan semula ekoran penularan pandemik Covid-19. Pada tahun lepas, Muhammad Erry juga tidak berkesempatan beraya bersama keluarga bagi memikul cabaran negara di Sukan SEA Kemboja. Bagaimanapun katanya beliau mengalami kecederaan di pinggang sehari sebelum berlepas ke Kemboja sehingga terpaksa melupakan hasrat beraksi di temasya dwi tahunan itu. "Masa itu memang sedih, sudahlah tidak beraya sebab berlatih di Surabaya, Indonesia, tak dapat beraksi pula, saya rasa pengorbanan saya tak beraya seperti sia-sia sahaja," katanya. Muhammad Erry yang juga anak kepada bekas jaguh angkat berat negara Hidayat Hamidun, berazam menebus kekecewaan pada temasya Sukan SEA di Bangkok, tahun depan.
Read more:SINARH
2024-04-11 16:11:0

Catat Ulasan

0 Ulasan