TANGKAK - Seorang remaja lelaki maut apabila motosikal ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Naib Long, Kampung Padang Lerek 1, Tangkak, malam tadi. Menurut Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Khas Untuk Penyandang (KUP), Mohd Aminuddin Muhamad Rawi, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan berkenaan pada jam 10.24 malam, pada Selasa. Katanya, satu pasukan keluaran operasi (PKO) melibatkan satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan jentera Perkhidmatan Perawatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangkak dengan tujuh anggota bomba telah dihantar ke lokasi. "Setibanya PKO ke lokasi, didapati kemalangan berkenaan melibatkan sebuah motosikal jenis Yamaha Y15 dengan sebuah kereta Proton Wira dinaiki tiga individu. "Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun yang menunggang motosikal maut di tempat kejadian manakala tiga mangsa melibatkan seorang lelaki dewasa dan dua perempuan dewasa dalam Proton Wira mengalami kecederaan, namun tidak tersepit. "Kesemua mangsa yang cedera telah dihantar ke hospital, sementara mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya. Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Read more:SINARH
2024-04-03 7:11:0
0 Ulasan