Search

header ads

[SINARH] 'Tak sangka terjadi kepada ahli keluarga sendiri'



SEREMBAN - "Selama ini saya dengar kes pokok tumbang ada yang mati dan cedera, tapi kali ini tak sangka terjadi kepada ahli keluarga saya sendiri." Demikian luah Zulkefli Azalan, 54, yang merupakan abang ipar kepada Ma Kamal Basri, 48, mangsa yang maut selepas kereta Perodua Viva dipandunya dihempap pokok tumbang dalam kejadian di Jalan Senawang Paroi berhampiran Taman Rashidah Utama di sini pada Khamis. Menurut Zulkefli, kejadian itu sangat memberi kesan kepada keluarga lebih-lebih lagi ia berlaku beberapa hari menjelang Aidilfitri. "Ketika kejadian, arwah dalam perjalanan ke tempat kerjanya di sebuah kilang di Senawang dan kejadian itu kami tahu selepas gambarnya tular di Facebook. "Adik bongsu saya telefon bertanya sama ada betul atau tidak itu kenderaan arwah dan untuk dapatkan kepastian saya terus ke lokasi," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Jaafar di sini pada Jumaat. Bagaimanapun, luluh hatinya sebaik tiba di lokasi kejadian apabila mendapati mangsa tersebut adalah iparnya dan telah pun meninggal dunia, selain kenderaannya remuk teruk dihempap pokok tumbang. "Saya tak mahu menunding jari kepada mana-mana pihak tapi daripada video yang saya lihat, saya rasa pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu ambil satu langkah proaktif tentang isu pokok ini. "Ia demi keselamatan orang awam. "Apa yang berlaku kepada adik ipar saya telah pun berlaku tapi saya harap ia tak berulang kepada orang lain," katanya. Ditanya sama ada keluarga bercadang mengambil tindakan lanjut berhubung kejadian berlaku, Zulkefli berkata, mereka masih belum berbincang mengenainya. Bagaimanapun katanya, beberapa peguam telah tampil menyatakan hasrat membantunya sekeluarga, sekali gus bagi memberi keadilan kepada mangsa. Beliau memberitahu, jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Senawang. Sinar Harian melaporkan seorang lelaki maut selepas kereta Perodua Viva dipandunya dihempap pokok tumbang dalam kejadian di Jalan Senawang Paroi berhampiran Taman Rashidah Utama dekat sini pada Khamis. Ketua Bomba Balai Bomba dan Penyelamat Senawang, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Nazri Azis, 48, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4.11 petang itu, mangsa Ma Kamal Masri, 48, yang tersepit di bahagian tempat duduk pemandu meninggal dunia di tempat kejadian. Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Read more:SINARH
2024-04-05 13:32:0

Catat Ulasan

0 Ulasan