Search

header ads

[SINARH] 26 penunggang motosikal ditahan, 151 saman dikeluarkan



BAYAN LEPAS - Seramai 26 orang ditahan dalam Operasi Pencegahan Jenayah Bersepadu yang dijalankan di beberapa lokasi di daerah Barat Daya, di sini bermula malam Sabtu sehingga awal pagi Ahad. Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal berkata, kesemua mereka ditahan kerana beberapa kesalahan melibatkan empat kes jenayah, empat kes komersial dan 18 kes narkotik. "Sebanyak 18 kenderaan disita di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 manakala 151 saman telah dikeluarkan atas lain-lain kesalahan. "Kesemua yang ditahan dibawa ke balai polis untuk tindakan selanjutnya," katanya ketika dihubungi pada Ahad. Kamarul berkata, selain membendung samseng jalanan yang melibatkan mat rempit, operasi itu juga bagi memastikan penunggang motosikal sentiasa mematuhi peraturan-peraturan lalulintas sedia ada dan mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan. "Operasi ini juga turut tertumpu di lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan mat rempit melakukan aksi berbahaya. Ia juga bertujuan untuk mengesan pemandu mabuk, mencegah kejadian kes kecurian kenderaan, ragut, pecah rumah dan sebagainya. "Orang ramai boleh menyalurkan maklumat berhubung sebarang kegiatan atau kejadian jenayah kepada Bilik Gerakan Polis Barat Daya di talian 04-8664122, 0192238169 (Whatsapp) atau Facebook Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya melalui 'messenger'," tambahnya lagi. Dalam kes berlainan, polis menahan seorang lelaki berusia 34 tahun kerana menjadi keldai akaun sindiket memperdaya mangsa dalam urusan pinjaman tidak wujud, baru-baru ini. Kamarul berkata, mangsa telah membuat beberapa transaksi secara dalam talian ke dua akaun bank yang berbeza dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM2,680. "Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun keseksaan kerana menipu. "Saya menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan muslihat sindiket penipuan di laman sosial," katanya. Beliau turut menyarankan orang ramai membuat semakan terlebih dahulu ke atas nombor akaun yang diberikan oleh suspek di portal Jabatan Siasatan Jenayah Komersil PDRM, melalui link https://ccid.rmp.gov.my/semakmule atau memuat turun di aplikasi Google Play Store semak Mule CCID sebelum membuat sebarang transaksi. Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Read more:SINARH
2024-05-12 11:55:0

Catat Ulasan

0 Ulasan