Search

header ads

[SINARH] Berisiko hilang keistimewaan jika langgar peraturan Arab Saudi



MAKKAH - Malaysia berisiko kehilangan keistimewaan sekiranya ada dalam kalangan rakyat negara ini berterusan melanggar undang-undang dan peraturan kerajaan Arab Saudi termasuk menyalahgunakan visa pelancong untuk menunaikan ibadah haji. Ketua Rombongan Haji Malaysia 1445H/2024, Datuk Seri Syed Salleh Syed Abdul Rahman berkata, sekiranya ditangkap kerana melakukan menyalahgunakan visa pelancongan, ini akan mencemarkan nama baik dan imej negara yang selama ini dipandang tinggi oleh negara berkenaan. "Kita nasihatkan mereka untuk tidak langgar peraturan Arab Saudi serta peraturan Malaysia kerana apabila ditangkap ia akan menyebabkan nama dan imej negara kita terjejas. "Kita perlu memahami bahawa Malaysia selalunya diberi keutamaan, diberi kemudahan dan keistimewaan oleh Arab Saudi dalam pelbagai situasi termasuk dari segi visa pelancongan, visa umrah dan visa haji," katanya kepada petugas media di Ibu Pejabat Tabung Haji (TH) di sini malam tadi. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai 300 bakal jemaah terkandas di Makkah selepas dikatakan terpedaya dengan pakej haji murah yang ditawarkan agensi pelancongan tidak bertanggungjawab. Sebagai rekod, antara negara Asia yang menerima visa pelancongan dari Arab Saudi termasuk Malaysia, Brunei, Singapura, Jepun, Korea Selatan, Kazakhstan dan China. Dalam pada itu, Syed Salleh berkata, kerajaan Arab Saudi kini mempergiatkan operasi tangkapan kepada mana-mana pihak yang cuba menawarkan haji selain daripada menggunakan visa haji. "Sebelum ini pun kerajaan Arab Saudi sudah mengumumkan penguatkuasaan penalti sebanyak 10,000 riyal (RM12,353) bagi pelanggaran peraturan dan arahan musim haji termasuk memasuki tujuh kawasan tanpa permit haji. "Selain itu mereka juga menetapkan pelanggaran peraturan dan arahan haji boleh membawa hukuman penjara sehingga enam bulan dan denda sehingga SAR50,000 (RM62,907)," jelasnya. Justeru beliau turut menasihati semua pihak yang berbuat demikian untuk meninggalkan Makkah sebelum 29 Zulkaedah atau bersamaan 21 Mei ini. "Saya juga ingin menasihatkan bagi mereka yang mempunyai hasrat untuk menggunakan visa selain visa haji dan tinggal lebih masa untuk laksana ibadah haji supaya tidak berbuat demikian," katanya. Menurutnya, kerajaan Arab Saudi akan membuat sekatan di jalan raya serta tempat tertentu termasuk tujuh kawasan tanpa permit. Sebelum itu, seramai 563 jemaah haji daripada kumpulan pertama KT01 dan kumpulan kedua (KT02) tiba secara berperingkat di Hotel Abraj Al Janadiriyah yang turut menjadi Ibu Pejabat TH di Makkah. Kumpulan ini kemudiannya dibawa menunaikan umrah secara berperingkat sejak 9 malam tadi dengan dibantu oleh Pembimbing Ibadah Haji Tanah Suci TH. Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Read more:SINARH
2024-05-15 8:0:0

Catat Ulasan

0 Ulasan