Search

header ads

[SINARH] DBKL lantik kontraktor tebang pokok tua



SHAH ALAM – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah melantik kontraktor di setiap kawasan Parlimen di ibu negara untuk mengenal pasti dan menebang pokok-pokok tua yang berbahaya sejak awal Januari lalu demi keselamatan orang ramai. Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan berkata, setiap kontraktor itu juga diwajibkan melantik pakar pokok untuk menentukan pokok-pokok yang berisiko tinggi tumbang seperti mengalami kereputan akar dan wajar ditebang. "Isu pokok tua yang berisiko tumbang ini sebenarnya sudah dibincangkan sejak tahun lepas dan DBKL segera mengambil tindakan dengan melantik kontraktor di setiap kawasan Parlimen untuk melakukan kerja-kerja ini. Kalau pokok masih berkeadaan baik, mungkin hanya perlu dipangkas batang atau dicantas dahannya. "Bagaimanapun ketika kerja-kerja ini dilakukan, berlaku pula kes-kes pokok tumbang yang berulang ini kerana kebanyakan pokok-pokok di ibu negara usianya lebih kurang sama," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa. Media pada Isnin melaporkan insiden pokok tumbang di ibu negara kembali berulang apabila kes terbaharu dilaporkan berlaku di hadapan Kuwait Bank berdekatan Jalan Pinang dan di empat lagi lokasi sekitar Kuala Lumpur. Sebelum itu pada 7 Mei lalu negara dikejutkan dengan kejadian pokok berusia lebih 50 tahun tumbang akibat hujan lebat serta angin kencang yang meragut nyawa seorang lelaki dan menghempap 17 kenderaan serta landasan Monorel di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur. Zahir menjelaskan, di kawasannya sendiri, kontraktor telah mengenal pasti pokok-pokok tua berkenaan yang kebanyakannya terletak di kawasan-kawasan perumahan. "Di kawasan Parlimen Wangsa Maju setakat ini tak ada pokok yang berisiko terletak di tepi jalan utama tapi pokok-pokok ini terdapat di kawasan perumahan. Pokok tua dan besar yang berada berdekatan kawasan awam seperti taman permainan sudah saya minta untuk dipotong sepenuhnya," ujarnya. Mengulas lanjut, Zahir berkata, selain faktor pokok yang telah berusia, kes pokok tumbang kerap berlaku ketika ini disebabkan kaedah penanaman pokok yang mungkin mempunyai kelemahan pada waktu dahulu. "Jenis pokok yang ditanam juga perlu diambil kira, perlu ditanam pohon yang berakar tunjang. Dahulu mungkin Datuk Bandar nak hijaukan Kuala Lumpur cepat, jadi ditanam pokok yang cepat tumbuh. "Jarak antara satu pokok dengan pokok yang lain juga mempengaruhi kerana kalau pokok saling berdekatan, ia menyokong antara satu sama lain namun sekiranya hanya ada sebatang pokok di kawasan tertentu mungkin disebabkan pokok lain telah ditebang, ia berisiko. Semua faktor-faktor ini perlu diteliti," katanya. Justeru, Zahir menggesa komuniti setempat bekerjasama membuat aduan kepada DBKL atau pusat khidmat masyarakat setiap Parlimen sekiranya masih terdapat pokok besar dan tua di kawasan mereka agar tindakan dapat diambil dengan cepat. Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Read more:SINARH
2024-05-15 8:10:0

Catat Ulasan

0 Ulasan