Search

header ads

[SINARH] Lapan lelaki mengaku masuk hutan tanpa permit



KUALA KANGSAR - Lapan lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar pada Khamis selepas didakwa memasuki hutan simpan kekal tanpa permit, dua bulan lalu. Tertuduh, Mohamad Shukri Abd Latif, 48; Jamil Chew Abdullah, 55; Che Mohd Rabillah Che Hassan, 36; Mohd Fadzli Abd Latif, 44; Fahmie Adiran Azmi, 35; Muhammad Rezwan Harun, 41; Mohd Anuar Md Jusoh, 50 dan Azrul Hafizi Abdullah, 41, masing-masing didakwa atas satu pertuduhan. Mengikut pertuduhan, kesemua mereka didakwa memasuki hutan simpanan kekal tanpa permit yang sah di Kompartmen 359 Hutan Simpan Banding, Hulu Perak pada 7 hingga 8 Mac 2024. Perbuatan tersebut merupakan kesalahan di bawah Seksyen 47(1)(c) Enakmen Akta Perhutanan Negara 1984 (Pemakaian) 1985. Bagi kesalahan tersebut, kesemua tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 47 (4) enakmen sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali. Kelapan-lapan tertuduh kemudiannya mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Rohaida Ishak. Peguam, Ahmad Adha Amir Yasser yang mewakili kesemua tertuduh merayu mahkamah mengenakan hukuman denda paling minimum kepada anak guamnya dengan alasan pengakuan bersalah tersebut menjimatkan masa mahkamah. Beliau turut berhujah bahawa kesemua tertuduh berada pada masa dan lokasi yang salah dan tidak boleh dikaitkan dengan kejadian pengeboman ikan di lokasi kejadian. Pasukan pendakwaan yang dikendalikan Pengarah Pendakwaan Perak, Wan Azimah Yaacob dan Timbalan Pendakwa Raya, Phulrani Kaur kemudian meminta mahkamah mengenakan hukuman setimpal ke atas tertuduh. Mahkamah kemudiannya menetapkan hukuman denda RM7,000 bagi setiap tertuduh dan enam bulan penjara jika gagal membayar denda berkenaan. Media pada 18 Mac melaporkan Jabatan Perhutanan Negeri Perak mengumumkan pembekuan pemberian kelulusan Permit Memasuki Hutan Simpanan Kekal di daerah Hulu Perak bagi membolehkan siasatan dilakukan berkaitan kes pengeboman ikan yang tular sebelum. Pada 12 Mac lalu, media melaporkan sekumpulan lelaki dipercayai terbabit dalam kegiatan mengebom ikan apabila beberapa bangkai haiwan itu ditemui di sekitar kawasan sungai dalam hutan. Kejadian itu disedari seorang pemancing dikenali Faizal bersama lapan rakannya yang datang ke kawasan hutan itu untuk memancing dan beriadah. Sebelum ini tular rakaman video memaparkan sekumpulan lelaki menunjukkan hasil tangkapan ikan seperti kelah, tengas dan lampam yang banyak di satu kawasan sungai dalam hutan. Berikutan itu, Jabatan Perikanan menyiasat aktiviti tular itu yang dikatakan menangkap ikan dengan cara yang salah dan mencurigakan. Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Read more:SINARH
2024-05-09 12:36:0

Catat Ulasan

0 Ulasan