Search

header ads

[SINARH] Malaysia, Republik Kyrgyz tumpu kerjasama industri halal



BISHKEK - Malaysia dan Republik Kyrgyz menyedari kepentingan kerjasama dalam pembangunan industri halal, berdasarkan kepentingannya yang semakin meningkat dalam ekonomi global dan potensi untuk pembangunan ekonomi. Dalam kenyataan bersama hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Republik Kyrgyz Sadyr Zhaparov menyatakan hasrat mereka untuk membangunkan industri halal antara agensi dan organisasi yang berkaitan kedua-dua negara. "Kedua-dua pihak akan menggalakkan pembangunan kriteria dan standard yang sama dalam sektor pengeluaran dan perkhidmatan halal serta pembangunan infrastruktur yang diperlukan, termasuk makmal dan pusat latihan, memulakan pertukaran pengalaman dan amalan terbaik dalam pensijilan, pengeluaran serta pengedaran barangan dan perkhidmatan halal," menurut kedua-dua pemimpin itu selepas pertemuan di Kediaman Negara Ala Archa di sini. Anwar kini dalam lawatan rasmi selama dua hari ke republik itu. Menurut kenyataan bersama itu, kedua-dua pemimpin mengakui bahawa pembangunan perdagangan dan hubungan ekonomi adalah aspek utama untuk mengukuhkan kerjasama antara kedua-dua negara. Mereka turut bersetuju untuk melaksanakan dan mewujudkan keadaan yang menggalakkan untuk meningkatkan perdagangan dua hala bagi menarik pelabur dan memudahkan perniagaan antara kedua-dua negara. Bidang kerjasama yang dibincangkan oleh kedua-dua pemimpin, antara lain ialah dalam bidang pertanian, perindustrian, tenaga, ekonomi kreatif, pengangkutan, perdagangan, perlombongan dan industri tekstil, termasuk bertukar-tukar pengalaman mengenai operasi zon ekonomi bebas. "Kedua-dua pemimpin menyedari kepentingan menganjurkan misi perdagangan dan pameran untuk memacu komuniti perniagaan dan mewujudkan peluang perdagangan baharu. "Mereka akan giat menggalakkan dan memudahkan penganjuran acara sedemikian untuk mempromosikan pelbagai sektor dan perkhidmatan serta mengukuhkan hubungan perniagaan antara wakil komuniti perniagaan kedua-dua negara," menurut kenyataan itu. Anwar dan Zhaparov turut mengiktiraf potensi yang wujud untuk kerjasama dua hala dalam industri makanan dan pembuatan serta menyatakan kesediaan mereka untuk usaha sama, pemindahan teknologi dan pelaburan dalam meningkatkan dan mengembangkan sektor ini. Menurut kenyataan itu, kedua-dua pemimpin mengakui bahawa mewujudkan jaringan udara secara terus antara kedua-dua negara memainkan peranan penting dalam pembangunan perdagangan dan hubungan ekonomi, dengan kedua-dua pihak menyokong dan menggalakkan rundingan antara syarikat penerbangan kedua-dua negara untuk membuka laluan udara secara terus yang baharu. Malaysia dan Republik Kyrgyz turut mengiktiraf kepentingan membangunkan pelancongan mampan sebagai faktor dalam mengukuhkan hubungan budaya dan perniagaan antara kedua-dua negara. Kedua-dua pemimpin mengesahkan komitmen mereka untuk menyokong pertukaran pelancong untuk meningkatkan pemahaman bersama mengenai kekayaan budaya dan alam semula jadi kedua-dua negara. Kedua-dua pemimpin juga bersetuju untuk bertukar-tukar pengalaman dan maklumat mengenai pendigitalan untuk meningkatkan kedudukan kedua-dua negara, dengan mengambil kira peranan teknologi digital yang semakin penting dalam dunia hari ini. - Bernama
Read more:SINARH
2024-05-15 21:9:0

Catat Ulasan

0 Ulasan