Search

header ads

[SINARH] SME Corp. salur bantuan, bimbing usahawan belia Sabah



SHAH ALAM - Seramai 200 usahawan belia Bumiputera Sabah telah berjaya dilatih tahun ini melalui bantuan geran berjumlah RM3 juta di bawah Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE). Program yang dilaksanakan oleh SME Corp. Malaysia iaitu agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) ini bertujuan menggalakkan belia Bumiputera berumur antara 18 hingga 30 tahun menceburi bidang perniagaan. Program berbentuk latihan asas keusahawanan yang telah dijenamakan sebagai TUBE-X bersempena dengan tahun ke-10 penganjurannya itu telah dilaksanakan dengan kerjasama Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat) selama tujuh hari bermula pada 6 Mei lalu. Program yang dilaksanakan di empat zon lain iaitu Zon Utara, Pantai Timur, Tengah/Selatan dan Sarawak ini menyediakan Geran Permulaan Perniagaan sehingga RM15,000 kepada setiap peserta yang berjaya menamatkan latihan. Majlis Penutupan Program TUBE-X Zon Sabah telah dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick di International Technology & Commercial Centre (ITCC), Penampang, Sabah, semalam. Ewon Benedick berkata, selepas tiga tahun pelaksanaan Program TUBE secara dalam talian akibat pandemik Covid-19, program itu kembali diadakan secara bersemuka atau fizikal agar tempoh pengajaran dan latihan keusahawanan dapat dimaksimakan dan secara tidak langsung mewujudkan jaringan sesama peserta. "Sehingga Disember 2023, seramai 7,738 peserta TUBE telah mengambil bahagian dan peserta dari Sabah merupakan yang tertinggi menyertai program TUBE iaitu seramai 1,444 (18.66%). "Peserta Alumni TUBE Sabah juga telah berjaya mewujudkan sebanyak 2,039 peluang pekerjaan di Sabah dengan nilai jualan perniagaan terkumpul sebanyak RM20.65 juta,"katanya di sini, semalam. Pengerusi SME Corp. Malaysia, Tan Sri Panglima Bernard Giluk Dompok, berkata, daya kreativiti dan inovasi adalah penting dalam memastikan kejayaan seorang usahawan. "Hasil daripada pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh daripada Program TUBE-X diharapkan dapat membantu usahawan belia Bumiputera meningkatkan daya kreativiti, ketahanan dan seterusnya melakukan inovasi dalam perniagaan masing-masing,"katanya. Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, Rizal Nainy, berkata, sebagai agensi yang bertanggungjawab dalam pembangunan PMKS di Malaysia, tumpuan akan turut diberikan dalam membangunkan usahawan belia Bumiputera sejajar dengan aspirasi kerangka Ekonomi MADANI yang lebih saksama dan inklusif. "Kami komited dalam memantau perkembangan setiap peserta TUBE-X yang tamat latihan dan memulakan perniagaan yang merupakan antara komponen utama dalam membimbing usahawan ke tahap yang lebih baik,"katanya. Majlis Rasmi Penutupan Program TUBE-X 2024 dijadualkan untuk diadakan bersempena penutupan Zon Tengah/Selatan pada 11 Jun 2024 di Kuala Lumpur. Secara keseluruhan, jumlah peserta belia Bumiputera yang berjaya dilatih di seluruh negara pada tahun 2024 adalah seramai 800 orang. Dalam majlis yang sama, Ewon Benedick turut menyampaikan replika cek kepada wakil peserta TUBE-X sebagai simbolik kepada penamatan sesi latihan Program TUBE-X serta menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara SME Corp. Malaysia dan Universiti Malaysia Sabah (UMS). MoU dengan UMS ini merintis jalan bagi kerjasama melaksanakan inisiatif kemampanan untuk PMKS di Sabah yang merangkumi pembinaan kapasiti dan promosi amalan Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), membangunkan ekosistem kredit karbon di Sabah serta menjalankan aktiviti berkaitan pembangunan modal insan dan penyelidikan. Hadir sama, Ketua Setiausaha KUSKOP, Datuk Sri Suriani Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Usahawan) KUSKOP, Datuk Zamri Salleh dan Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor.
Read more:SINARH
2024-05-13 12:20:0

Catat Ulasan

0 Ulasan