Search

header ads

[SINARH] Terengganu laung amaran awal



NAIB juara Piala Malaysia 2023 Terengganu FC (TFC) melaungkan amaran awal apabila menyingkap kempen Liga Super 2024/25 langkah kanan selepas menjinakkan Perak FC 3-1 pada perlawanan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kuala Nerus, pada Sabtu. Skuad Penyu kendalian Tomislav Steinbruckner bermula cemerlang apabila mendahului 1-0 seawal minit keenam hasil rembatan pemain tengah dari Uzbekistan Nurillo Tukhtasinovderas dari luar kotak penalti. Perak kendalian Yusri Che Lah kemudiannya bangkit meningkatkan intensiti permainan sekaligus kembali menghadirkan saingan kepada pasukan tuan rumah. Usaha pasukan pelawat memburu gol penyamaan membuahkan hasil pada separuh masa kedua apabila Kapten The Bos Gaurus, Luciano Guaycochea tenang menyempurnakan penalti minit ke-61 selepas pemain tengah Filipina, Manuel Ott menjatuhkan Lee Tae Min. Namun, kegembiraan pasukan pelawat kendalian itu tidak bertahan lama apabila pemain pertahanannya Shivan Pillay menjaringkan gol sendiri pada minit ke-66 sebelum penyerang gantian dari Nigeria, Nnabuike Chukwu melengkapkan kemenangan Terengganu dengan gol ketiga pada minit ke-81. Sementara itu, Sri Pahang FC terpaksa bekerja keras sebelum berjaya meraih tiga mata berharga dengan menundukkan Kelantan Darul Naim FC 1-0 pada pertembungan di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh yang menjadi venue rasmi skuad Tok Gajah musim ini. Pasukan pelawat kendalian Park Jae-hong terlebih dahulu mengancam gawang Sri Pahang menerusi percubaan Muhammad Asraff Aliffuddin Yasin pada minit ke-11, namun rembatan derasnya hanya meluru tepat ke arah penjaga gol Mohd Zarif Irfan Hashimuddin. Menghampiri rehat, penyerang import dari Argentina Manuel Hidalgo terlepas peluang untuk meletakkan pasukan tuan rumah di depan selepas sepakan lambungnya pada minit ke-40 dari jarak dekat diselamatkan penjaga gol Khatul Anuar Md Jalil. Bagaimanapun, Hidalgo berjaya menebus kekecewaan itu apabila mencipta jaringan cantik menerusi sepakan percuma dari jarak dekat pada minit ke-63 yang akhirnya menjadi gol kemenangan pasukan bimbingan Fandi Ahmad itu. Pada sebelah petang, penyerang pinjaman dari Johor Darul Ta'zim (JDT), Muhammad Syafiq Ahmad muncul penjaring sulung Liga Super dan meledak gol terpantas selepas membantu Kedah Darul Aman FC menewaskan juara Piala Cabaran 2023, PDRM FC 1-0 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang. Bekas penyerang skuad Harimau Malaya itu meledak gol selepas 33 saat perlawanan bermula sebelum hujan lebat yang turun hampir sepanjang aksi menjejaskan mutu permainan kedua-dua pasukan. Kemenangan di gelanggang lawan itu penting buat skuad Sang Kenari bimbingan Mohd Nafuzi Zain apabila terpaksa memulakan musim baharu dengan defisit tiga mata selepas dihukum Liga Bolasepak Malaysia (MFL) susulan isu kelewatan pembayaran tunggakan gaji musim lalu. Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Read more:SINARH
2024-05-12 6:53:0

Catat Ulasan

0 Ulasan