Search

header ads

[SINARH] Ucapan Azmin bersifat jahat - Deepak



KUALA LUMPUR - Seorang saksi dalam saman fitnah difailkan terhadap Datuk Seri Mohamed Azmin Ali oleh sebuah syarikat pengimport telur, J&E Advance Tech Sdn Bhd, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa kenyataan dibuat bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu dalam ceramah politik mengenainya, adalah bersifat jahat yang memfitnahnya dan nama abangnya. Ahli perniagaan, Deepak Jaikishan, 52, berkata, kenyataan Mohamed Azmin dalam ceramah politiknya pada 11 Mac 2023, mengenai dia berkawan dengan Datin Seri Rosmah Mansor, yang merupakan isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan menyebut perkataan 'telur' berulang kali secara peribadi, sebagai memfitnahnya. "Azmin dengan jelas memfitnah saya dengan cara yang sangat jahat, mengaitkan abang saya dan syarikatnya (J&E Advance Tech). "Saya digunakan sebagai alat untuk menarik pendengar dan cara dia banyak kali berbohong untuk ucapannya adalah sangat jahat dan tidak perlu. "Ucapan itu memfitnah saya dan abang saya. "Ia merosakkan semua usaha yang dilakukan oleh abang dan isterinya dalam perniagaan mereka, dan saya melihat kerosakan berlaku di hadapan mata saya, itu adalah bersifat jahat," kata Deepak ketika memberi keterangan sebagai saksi yang disepina dalam saman itu di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Leong Wai Hong hari ini. Beliau berkata, kenyataan Mohamed Azmin bahawa J&E Advance Tech telah mendapatkan permit pengimportan telur kerana persahabatannya dengan Rosmah, adalah bahagian yang bersifat jahat dalam ucapan itu. "(Apabila Azmin berkata) 'kawan Rosmah'... (ia kenyataan) jahat, kerana dia bukan kawan saya," katanya ketika pemeriksaan balas peguam Muhammad Nizamuddin Abdul Hamid. Terdahulu, adik Deepak Rajesh Jaikishan, yang merupakan pengurus besar J&E Advance Tech dalam keterangannya berkata, dakwaan Mohamed Azmin dalam ucapannya adalah tidak benar, kerana tiada rundingan langsung dengan kerajaan dalam mendapatkan lesen pengimportan telur. "Permohonan dibuat secara telus kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia untuk kelulusan, berikutan kekurangan bekalan telur di negara ini. "Kami melalui proses yang sangat merumitkan untuk mendapatkan sumber dari India dan melalui semua keperluan kawal selia daripada agensi eksport India serta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan serta Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) untuk kelulusan," katanya. Perbicaraan akan disambung pada Jumaat (17 Mei) dan dijangka akan mendengar keterangan Mohamed Azmin. J&E Advance Tech Sdn Bhd memfailkan saman terhadap Mohamed Azmin pada 12 April 2023 kerana beliau mendakwa syarikat itu memperoleh kontrak melalui rundingan terus dengan kerajaan untuk mengimport telur dari India. Syarikat itu mendakwa defendan (Mohamed Azmin) telah membuat dan menerbitkan satu ucapan memfitnah syarikat berkenaan dalam 'Ceramah Perdana: Solidariti Menentang Kezaliman' di Taman Melewar di sini pada 11 Mac lepas dan kenyataannya itu telah diterbitkan semula oleh media cetak dan elektronik, termasuk YouTube. Menurut J&E Advance, walaupun nama syarikat itu tidak dinyatakan di dalam ucapan memfitnah tersebut, namun ucapan berkenaan jelas merujuk kepada plaintif, kerana ia satu-satunya syarikat Malaysia yang dibenarkan mengimport telur dari India seperti diumumkan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, dalam sidang Parlimen pada 8 Mac tahun sama. Menurut syarikat itu, kenyataan tersebut tidak benar dan melampau yang mana syarikat berkenaan tidak pernah terlibat dan tidak mempunyai kaitan dengan apa-apa rundingan terus dengan Kerajaan Malaysia. - Bernama Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Read more:SINARH
2024-05-13 21:23:0

Catat Ulasan

0 Ulasan