Search

header ads

[SINARH] Pelantikan Ahli Lembaga baharu DNB kemajuan penting penstrukturan semula 5G



KUALA LUMPUR - Pelantikan ahli lembaga pengarah baharu Digital Nasional Bhd (DNB) menandakan satu kemajuan penting seperti yang direncanakan dalam perjanjian langganan saham (SSA) yang ditandatangani bagi penstrukturan semula rangkaian 5G, kata Menteri Digital Gobind Singh Deo. SSA itu ditandatangani antara DNB, Menteri Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) dan lima pengendali rangkaian mudah alih (MNO), iaitu Maxis Bhd, CelcomDigi Bhd, Telekom Malaysia Bhd, U Mobile Sdn Bhd dan YTL Communications Sdn Bhd, pada 1 Disember, 2023. Gobind berkata, SSA itu dimeterai oleh pihak-pihak untuk melaksanakan dasar kerajaan seperti yang diumumkan pada 2 Mei 2023, mengenai peralihan daripada model 5G secara rangkaian borong tunggal (SWN) kepada model 5G secara dwi rangkaian (DN). "Terdapat dua fasa utama kepada peralihan. Pertama, rangkaian 5G DNB mencapai 80 peratus liputan kawasan berpenduduk dan penyertaan MNO dalam DNB. "Kedua, peralihan kepada DN dan pelupusan ekuiti kerajaan (melalui MoF Inc) dalam DNB yang mana beberapa MNO akan kekal dengan DNB manakala MNO yang selebihnya akan berpindah ke rangkaian 5G kedua dan melepaskan ekuiti mereka dalam DNB," katanya dalam satu kenyataan hari ini. Beliau berkata, aspirasi kerajaan mengikut pengumuman dasar bahawa SSA, yang merupakan proses penting dalam fasa pertama, akan membolehkan penyertaan semua MNO dalam DNB sebagai pemegang saham sebelum peralihan kepada 5G Dwi Rangkaian. "Saya difahamkan bahawa susulan pelantikan ahli lembaga pengarah baharu DNB, lembaga pengarah DNB yang baharu dibentuk semula itu akan mengadakan mesyuarat tidak lama lagi untuk, antara lainnya, menyemak dapatan kajian terperinci dan berusaha memenuhi syarat-syarat duluan yang masih berbaki dan menyelesaikan SSA. 'Selepas SSA selesai, MNO dijangka secara kolektif melanggan 70 peratus ekuiti dalam DNB (14 peratus setiap MNO), manakala MoF Inc memegang baki 30 peratus ekuiti dan bahagian khas yang akan memberikan MoF Inc hak istimewa tertentu bagi satu tempoh yang ditetapkan. "Hak dan obligasi pihak-pihak akan dinyatakan dalam perjanjian pemegang saham yang akan dilaksanakan oleh pihak-pihak," katanya. Gobind berkata, perkembangan terkini itu merupakan satu langkah penting ke arah memenuhi komitmen kerajaan terhadap pelaksanaan dasar 5G dwi rangkaian. "Pihak-pihak akan meneruskan proses sewajarnya untuk memuktamadkan SSA, dan seterusnya mempertingkatkan penggunaan rangkaian 5G Malaysia," katanya. - Bernama
Read more:SINARH
2024-04-25 18:46:0

Catat Ulasan

0 Ulasan